TITIK CINTA TERAKHIR – BAB 10

TCT2TCT-COVER

PAGI itu seperti biasa Aiza menunggu kedatangan Idzmir untuk menjemputnya pergi kerja. Pertemuan malam tadi betul-betul menggembirakannya. Manakan tidak, satu malam lelaki kesayangannya itu menghabiskan waktu bersamanya.

Setelah hampir lima minit menunggu, kereta Idzmir mula kelihatan. Aiza melebarkan senyuman. Penampilannya agak manis pada hari ini. Hampir satu jam dia menghadap cermin semata-mata mahu kelihatan menarik di depan mata Idzmir.

Pintu kereta di buka dari dalam. Aiza dengan senang hati mula memasuki perut kereta sambil melemparkan senyuman pada Idzmir di sebelah. Idzmir membalas senyuman itu lantas di tariknya tangan Aiza lalu di kucupnya perlahan. Aiza menikmati kebahagiaan yang sedang di rasainya ketika itu. Bagi diri Aiza, sesungguhnya Idzmir merupakan seorang lelaki yang cukup romantik.

“Sayang apa khabar pagi ni? Sihat?” Soal Idzmir sambil tangan kanan Aiza masih di dalam genggamannya. Sepasang matanya menjeling dan memerhati ke arah Aiza yang menunjukkan penampilan menarik pada hari ini.

“Za sihat aje. Kalau tak sihat, tak adalah Za nak pergi kerja hari ni.” Jawab Aiza lirih sambil menjeling manja ke arah Idzmir yang sudah mula memegang stereng kereta namun tangan kanannya masih lagi belum di lepaskan lelaki itu.

“Cantik betul Za hari ni. Apakata tengahari nanti kita lunch sama-sama. Ok?” Usul Idzmir pada Aiza yang kelihatannya tersenyum manis di sebelah.

“Mana lebih cantik, Za atau isteri abang?” Usik Aiza pada Idzmir sambil dia mencuri pandang pada wajah tampan lelaki itu.

“Dua-dua cantik.” Jawab Idzmir bersahaja. Dia tahu, kalau dia memberikan jawapan seperti itu, pasti sahaja Aiza tidak akan berpuas hati. Dia faham benar dengan sikap Aiza. Segala pujian yang sentiasa di berikannya, Aiza sentiasa mahukan yang lebih.

“Za tak mahu abang jawab macam tu. Za mahu abang pilih cuma satu. Mana lebih cantik? Za atau isteri abang?” Soal Aiza lagi seperti tidak berpuas hati. Idzmir sudah mengagak Aiza tentu akan mengulangi soalan yang sama selagi jawapan yang di berikannya masih belum cukup memuaskan hati gadis itu.

Err.. Isteri abang cantiknya pada bahagian lain. Za pulak cantiknya pada bahagian yang lain.” Idzmir memberikan jawapan yang di rasakannya selamat. Namun di dalam hatinya pula memberikan jawapan yang pasti akan mengecewakan Aiza. Sudah tentulah isteri abang lebih cantik. Getus Idzmir di dalam hati. Dia tersenyum nipis.

“Jawapan apa macam tu? Berbelit-belit.” Rungut Aiza sambil menghadiahkan satu cubitan pada lengan Idzmir. Lelaki itu hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia sendiri pun tidak faham dengan jawapan yang di berikannya kepada Aiza.

“Ala tak kisahlah siapa yang lebih cantik. Yang penting dua-dua abang sayang.” Jawab Idzmir lagi untuk menyedapkan hati Aiza.

“Kalau macam tu, siapa yang lebih abang sayang? Za atau isteri abang?”

Pulak dah?? Adoi..” Idzmir mula memicit dahi. Terasa lucu benar dia pagi itu dengan soalan yang bertubi-tubi daripada Aiza. macam mana aku nak jawab ni? Soal Idzmir di dalam hati.

“Jawab la!” Aiza menggesa.

Err.. Isteri abang, abang sayang pada sudut yang lain dan Za pula abang sayang dari sudut yang lain.” Adoi, apa jawapan yang aku bagi ni? Tercetus pertanyaan itu di hati Idzmir. mati akal dia di buatnya dengan perangai Aiza yang seperti kebudak-budakan itu.

“Tak boleh ke kalau abang bagi jawapan yang dapat menyenangkan hati Za??” Aiza mula meninggikan sedikit suaranya. Geram betul dia dengan jawapan yang entah apa-apa daripada Idzmir. Seolah-olah jawapan yang di berikan lelaki itu tidak ikhlas terhadap dirinya.

“Za, penting ke semua tu? Bagi abang, kalau hati abang dah sayang pada Za, tak perlu la abang nak bagi jawapan pada soalan yang macam tu.” Ucap Idzmir dengan nada suara perlahan. Dalam hatinya mengharapkan supaya gadis kesayangannya itu mengerti.

“Abang dah bagitahu ke pada isteri abang tentang hajat abang nak memperisterikan Za? Dah lama Za tunggu tau. Sampai bila kita nak macam ni? Abang kan lelaki. Tak boleh ke abang buat satu keputusan?” Sekali lagi Aiza mengutarakan soalan yang sama lantas membuatkan jiwa Idzmir kembali tidak senang dengan pertanyaan itu. Malam tadi dia sudah cuba untuk memaklumkan kepada Nurshila tetapi belum apa-apa lagi isterinya itu sudah menunjukkan syak wasangka dan mula memprotes.

“Belum lagi.” Ringkas sahaja jawapan yang di berikan Idzmir sehingga membuatkan mulut Aiza sedikit ternganga.

“Belum??” Aiza sudah mula berasa cuak. Marah benar dia dengan sikap tidak berterus terang Idzmir kepada isterinya itu. Apa yang hendak di jagakan sangat hati bini kau tu?? Gerutu Aiza sendiri lalu satu idea jahat mula berlegar di dalam kepalanya.

Aiza melonggarkan skarf kepala yang di pakainya. Kemudian, skarf itu mula di turunkan secara perlahan-lahan dan selepas itu dia meletakkan skarf itu di bahagian belakang badannya supaya nanti apabila dia keluar dari kereta, skarf itu masih berada di atas seat. Niatnya cuma satu, dia mahu Nurshila menjumpai skarf kepalanya itu dan pasti sahaja Nurshila akan mula merasa sangsi terhadap Idzmir. Jahat sekali perancangan yang di buat Aiza. Sememangnya dia bukanlah seorang perempuan yang baik.

 

**********

 

 

HARI itu merupakan hari minggu. Idzmir tidak kemana-mana dan dia hanya mengambil peluang cuti itu untuk berehat sahaja di rumah di samping melayan keletah anak perempuan kesayangannya Puteri Felisha.

Puteri Felisha tidak sudah-sudah mahu mengajak papanya bermain dengan Barbie doll yang di belikan papanya tempohari.

“Papa jomlah kita main dengan Mak Timah ni.” ‘Mak Timah’ adalah gelaran yang di berikan Puteri Felisha kepada Barbie doll itu. Hampir tergelak di buatnya Idzmir apabila mendengarkan nama itu.

“Hah?? Mak Timah??” Idzmir mengerutkan dahi. Hendak tergelak, terpaksa dia tahankan. Nanti mencebik pula Puteri Felisha.

Barbie doll ni nama dia Mak Timah la papa.” Puteri Felisha mula memperkenalkan ‘Mak Timah’ kepada Idzmir sambil dia menarik tangan papanya untuk bersalam dengan ‘Mak Timah’.

“Kenapa Uyi panggil dia Mak Timah? Kesian dia tau. Dia kan masih muda lagi. Lain kali Uyi panggil la dia Shila ke, Aiza ke. Barulah cun.”

“Hah? Aiza? Siapa tu??” Tiba-tiba sahaja Nurshila mencelah sambil membawa segelas air untuk Idzmir yang sedang ralit berbual dengan Puteri Felisha.

Eh.. Errr.. Ni ha.. Abang bagi cadangan nama pada Uyi ni. Ada ke patut dia bagi nama Mak Timah kat Barbie doll ni? Isy, tak sesuai langsung. Kalau bagi nama Shila ke, Aiza ke, Fifi ke, barulah sesuai.” Idzmir menelan liur sambil mengambil gelas dari tangan Nurshila lalu terus meneguk air itu sampai habis tanpa sedikit pun dia berhenti sehingga membuatkan air itu sedikit tumpah.

Nurshila yang pelik melihat sikap aneh Idzmir mula mengerutkan dahi. Hairan sungguh dia dengan kelakuan Idzmir.

“Abang ni kenapa? Minum air tu tak boleh ke elok-elok sikit? Gelojoh betul. Macam orang tak pernah minum air satu bulan.” Bebel Nurshila pada Idzmir yang sedang menyapu bahagian mulutnya yang sedikit basah.

“Abang dahaga betul hari ni Shila. Panas pula rasanya.” Idzmir cuba membuat dalih. Mujurlah dia tidak tersasul sebentar tadi. hampir-hampir sahaja dia terkantoi.

“Panas? Panas apanya. Tengok kat luar tu kan tengah hujan?” Nurshila memuncungkan mulutnya ke luar rumah. Dia semakin pelik dengan tingkah laku luar biasa yang di tunjukkan Idzmir.

“Hujan ke? Tak sedar pulak.” Idzmir tersengih. Nurshila mencebikkan bibir sambil dahinya sudah mula berlapis-lapis. Kepalanya di gelengkan beberapa kali.

“Shila tolong ambilkan fail dalam kereta boleh tak?” Pinta Idzmir pada Nurshila yang masih lagi tercegat berdiri di hadapannya sementara Puteri Felisha pula masih ralit dengan ‘Mak Timah’.

Tanpa membalas kata, Nurshila mula mengatur langkah untuk mengambil fail yang di maksudkan Idzmir.

“Papa jomlah main dengan Mak Timah ni. Kesian dia tak ada kawan.”

“Tak mahulah papa.”

“Kenapa tak mahu pulak?”

“Papa malu la. Mak Timah tu tak pakai baju.” Idzmir memuncungkan mulutnya ke arah Mak Timah yang sedang di pegang Puteri Felisha dan memang ternyata Barbie doll itu tidak di pakaikan baju oleh anak perempuannya itu. Idzmir tersengih apabila melihat wajah Puteri Felisha seakan-akan blur.

“Mak Timah baru lepas mandi la papa.” Ujar Puteri Felisha lembut sambil tersenyum manja. Terhibur sungguh hati Idzmir tatkala bergurau senda dengan puteri kesayangannya.

“Abang!” Tiba-tiba sahaja Idzmir dan Puteri Felisha di kejutkan dengan suara kuat yang di lontarkan Nurshila. Idzmir lantas berdiri sementara menunggu Nurshila menghampirinya dalam keadaan marah. Riak wajahnya menyinga sehingga membuatkan Idzmir menelan liur berkali-kali.

“Skarf siapa ni??” Satu skarf berwarna hitam yang berada di tangan Nurshila mula di suakan ke wajah Idzmir sehingga membuatkan sepasang mata Idzmir terbuntang. Itu skarf Aiza! Dari mana pula Shila jumpa skarf tu?? Soal Idzmir dalam hati. Matilah aku kali ni! Desis hati kecilnya lagi sambil di dalam kepalanya pula sudah bersedia dengan satu penipuan yang bakal keluar dari mulutnya.

Err.. Itu skarf makcik cleaner yang abang tumpangkan balik kerja semalam.” Idzmir memberikan alasan yang pasti sahaja akan di percayai oleh Nurshila.

“Skarf makcik cleaner?? Abang jangan nak bohong dengan Shila ok! Mustahil seorang makcik cleaner pakai skarf kepala cantik macam ni? macam skarf orang muda. Lebih baik abang berterus-terang saja dengan Shila!” Bentak Nurshila sekuat hati sementara Puteri Felisha yang berdiri di sebelah papanya sudah mula kelihatan resah. Di pegangnya tangan Idzmir dengan kemas.

Apabila melihat Puteri Felisha sudah tidak keruan. Nurshila lantas menyuruh anaknya itu berlalu naik ke bilik.

“Uyi, pergi naik atas!” Arah Nurshila dengan sedikit kasar. Hatinya kini sedang membahang apabila sudah mula mengesyaki yang Idzmir bukannya menumpangkan seorang makcik cleaner tetapi ada perempuan lain yang menaiki kereta suaminya semalam.

“Kalau ya pun marahkan abang, janganlah Shila lepaskan kemarahan pada Uyi.” Keluh Idzmir pada Nurshila sambil melirik matanya ke arah Puteri Felisha yang sudah pun berlalu meninggalkan mereka berdua sendirian di ruang tamu.

“Kalau tak nak Shila marah, lebih baik abang berterus-terang. Skarf ni siapa yang punya?!” Semakin lama suara Nurshila semakin meninggi. Pada ketika itu, dia sudah terasa sesuatu. Seperti ada perkara yang cuba di sorokkan oleh suaminya itu sejak kebelakangan ini.

Apakah Idzmir mempunyai seorang kekasih di luar pengetahuannya?? Nurshila mula di ulit resah. Tingkah laku pelik yang di tunjukkan oleh suaminya itu dalam tempoh terdekat ini, menjadi suatu kebimbangan di hati Nurshila.

“Nanti abang terangkan. Shila duduk dulu dan bawa bertenang.” Pujuk Idzmir lembut lantas menarik tangan Nurshila yang masih lagi kejap memegang skarf di tangan. Sudah tiba masanya untuk dia menjelaskan segala-galanya kepada Nurshila dan tidak mungkin lagi sampai hatinya untuk terus memperbodohkan isterinya itu.

Nurshila menurut sahaja. Dia mula melabuhkan duduk di atas sofa sambil bertemankan satu perasaan sebak. Dia tahu perkara yang akan di jelaskan suaminya nanti akan membuatkan hatinya terluka dan dia yakin benar suaminya itu memang mempunyai seorang kekasih di luar sana atau lebih tepat lagi boleh saja dia menganggap suaminya itu main kayu tiga!

Skarf yang ada di tangan Nurshila mula di ambil Idzmir lalu di letakkannya di atas sebuah meja kecil bersebelahan dengan tempat duduknya. Kemudian, jemari Nurshila mula di sentuhnya perlahan namun tidak sempat untuk dia menyentuhnya lebih lama, Nurshila pula merentapnya sedikit kasar. Hatinya sedikit tercalar apabila menjumpai skarf itu di dalam kereta suaminya.

“Kalau abang terangkan satu perkara yang akan menyakiti hari Shila, apakah Shila dapat memaafkan abang?” Idzmir cuba memancing perasaan Nurshila apabila dia mendapati ada sinar kelukaan di wajah isterinya itu.

“Adakah abang mempunyai seorang kekasih tanpa pengetahuan Shila? Cakap saja kalau ianya betul.” Nada suara Nurshila mulai kendur tetapi masih lagi kedengarannya bergetar seolah-olah sedang menahan luka di hati.

“Namanya Aiza. Abang.. abang ingin memperisterikan dia sekiranya Shila mengizinkan.” Idzmir menarik nafas lega. Satu bebanan sudah di lepaskannya. Terasa kepalanya kini sudah seringan kapas.

Namun, beban yang di pikul oleh Idzmir selama ini beralih pula pada bahu Nurshila. Dia tertunduk menahan rasa cemburu yang kian membuak-buak apabila satu nama perempuan sudah terlepas bebas daripada mulut suaminya itu.

Beberapa titisan airmata sudah mula menuruni pipi mulus Nurshila dan Idzmir menyedari akan keadaan itu. Lantas dia mula meraih tubuh Nurshila dari sisi tetapi Nurshila terus menjarakkan diri.

“Lepaskan tangan abang. Jangan sentuh Shila.” Suara Nurshila bergetar dalam tangisan. Hatinya begitu pedih apabila mendengar pengakuan itu. Suaminya mahu bernikah lagi?? Dia seperti tidak percaya! Selama ini Idzmir begitu baik sekali sejak bergelar suami. Tidak pernah sedikit pun dia memandang perempuan lain apatah lagi sanggup berlaku curang.

“Sampai hati abang. Patutlah sejak akhir-akhir ni, abang sering saja menyebut tentang anak yang ramai. Rupanya ini niat abang.” Esakan tangisan Nurshila semakin jelas kedengaran. Idzmir di sebelah mula di himpit rasa bersalah. Dia tahu isterinya sedang menanggung kelukaan.

“Shila jangan salah faham. Bukan hanya semata-mata kerana abang inginkan anak lagi tapi..” Idzmir tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana penjelasan yang akan di buat seterusnya itu pasti akan mengundang lebih dalam lagi luka di hati Nurshila.

“Tapi apa?? Kalau bukan kerana niat abang untuk mempunyai anak yang lebih ramai, kerana apa lagi?? Kerana ikutkan nafsu?? Macam tu ke maksud abang??” Tiba-tiba suara Nurshila kedengarannya sudah agak kasar. Sepasang matanya di lirikkan tajam ke arah Idzmir. Sakit hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu!

“Abang.. abang cintakan dia Shila. Bukan kerana nafsu. Tapi seikhlas hati abang cintakan dia.” Idzmir semakin berani membuat pengakuan demi pengakuan di hadapan Nurshila. Satu keluhan berat mula di lepaskannya.

Nurshila kembali menundukkan kepala. Cuba menahan rasa pilu yang semakin menyucuk tangkai hati. Tangisannya semakin menjadi-jadi apabila mendengarkan satu pengakuan yang cukup-cukup membuatkan jantungnya terhenti.

“Shila tak sangka perangai abang macam ni. Selama ni Shila anggap, Shila adalah isteri yang paling bertuah sekali kerana mendapat suami macam abang. Bukan saja kacak, mempunyai kerjaya yang bagus dan memiliki hati yang baik. Tapi rupanya selama ni Shila silap membuat andaian. Rupa-rupanya, abang pun sama saja dengan lelaki lain!” Bentak Nurshila sepuas hati.

“Shila..” Idzmir cuba menghampiri Nurshila tetapi dengan pantasnya Nurshila mula berdiri. Tidak ingin untuk dia berada dekat dengan suaminya itu. Dia sekali-kali tidak mahu bersikap hipokrit.

Idzmir juga turut sama berdiri dan mula memegang kedua-dua bahu isterinya itu perlahan namun sekali lagi Nurshila cuba menjarakkan diri. Idzmir tertunduk memandang lantai. Hanya pandangan kosong sahaja yang melekat di situ.

“Bagitahu Shila, dah berapa lama abang menjalinkan hubungan sulit dengan perempuan tu? Dan.. dah berapa lama juga abang memperbodohkan Shila selama ni?” Soal Nurshila lagi dalam nada suara yang sayu. Perasaannya betul-betul terguris.

“Shila janganlah menyoal abang begini. Tak ada niat sikit pun abang nak memperbodohkan Shila. Ini semuanya takdir.”

“Takdir konon. Takdir yang abang buat sendiri, kan??” Soal Nurshila lagi dalam keadaan sinis. Idzmir tidak tahu lagi hendak menjawab dengan pertanyaan itu. Dia hanya mampu mengeluh beberapa kali dan tangannya pula sibuk memicit dahi.

“Abang minta maaf dengan Shila. Abang sedar, abang sudah pun melukakan hati Shila. Tapi Shila kena tahu, abang memang tidak terniat untuk membuatkan Shila terluka begini. Kasih sayang abang pada Shila, pada Uyi, tak pernah luak walau sikit pun. Malah, ianya semakin bertambah.” Ucap Idzmir seakan-akan merayu.

“Sudahlah abang. Jangan nak berlakon lagi depan Shila. Sekali saja Shila di tipu, selamanya Shila tidak akan percaya lagi dengan kata-kata abang. Kalau dengan perempuan lain boleh la. Tapi kalau dengan Shila, jangan harap abang nak berlakon lagi. Shila takkan percaya.” Ujar Nurshila seakan-akan menyindir suaminya itu.

Terkulat-kulat Idzmir memandang Nurshila. Dia tidak menyangka kata-kata yang meniti dari bibir Nurshila itu menunjukkan bahawa isterinya itu bukanlah calang-calang perempuan. Tidak mudah lembut hatinya kalau di pujuk rayu. Walaupun sudah enam tahun mendirikan rumahtangga dengan Nurshila, baru kini Idzmir nampak betapa kuatnya hati Nurshila apabila berbicara seperti itu walaupun sebentar tadi isterinya itu menunjukkan kesedihan dan menangis.

Apabila mendapati Idzmir hanya mampu berdiam diri, Nurshila mengambil keputusan untuk beredar saja dari situ. Adalah lebih baik kalau dia meninggalkan rumah sekiranya suaminya itu terus memasang niat untuk memperisterikan perempuan itu. Tetapi sebelum Nurshila memulakan langkah, sempat dia menyoal pada suaminya mengenai Aiza.

“Satu perkara lagi yang Shila perlu tahu. Perempuan yang abang suka sangat tu, dah tahu ke yang abang ni dah kahwin??” Soal Nurshila sambil merenung tajam pada sepasang mata bersalah Idzmir.

“Dia memang tahu abang dah kahwin.” Jawab Idzmir bersahaja. Mulut Nurshila sedikit ternganga apabila mendengarkan jawapan itu.

“Dah tahu?? Kalau dia dah tahu abang ni suami orang, kenapa dia masih menggatal lagi dengan abang?? Dasar perempuan muka tak tahu malu. Miang! Kalau Shila jumpa dengan perempuan tu, tahulah apa Shila nak buat.” Bentak Nurshila tiba-tiba.

“Shila nak buat apa?” Soal Idzmir cuak. Risau betul dia apabila melihat kesungguhan Nurshila. Belum pernah lagi isterinya itu menunjukkan sikap keras seperti itu. Selama ini, Nurshila terkenal dengan sikap lemah lembutnya, sopan dan santunnya tetapi sekarang ini semua itu bagaikan hilang entah kemana.

“Kenapa?? Abang takut kalau Shila bunuh perempuan tu ke?? Ingat ya abang, bukan saja Shila boleh pergi bersemuka dengan dia tau. Tapi untuk buat lebih daripada itu pun Shila sanggup.” Ugut Nurshila pada Idzmir. Walaupun di kala itu hatinya betul-betul sakit dan terluka apabila mendengarkan pengakuan suaminya mahu berkahwin dengan perempuan itu, tetapi dia cuba cekalkan hati. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Idzmir.

Idzmir tidak mampu lagi untuk bersuara. Kecut perut juga dia di buatnya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Nurshila.

Apabila melihat perubahan yang ketara pada seraut wajah Idzmir, Nurshila segera beredar untuk mengemaskan pakaian. Sudah tidak mahu lagi dia berada di dalam rumah itu dengan lebih lama. Adalah lebih baik sahaja kalau dia pergi.

Dia akan membiarkan suaminya itu berfikir sendiri buruk baiknya di kemudian hari nanti. Bagi Nurshila, dia tahu perempuan itu bukanlah dari kalangan orang baik-baik. Walaupun masih belum bersua dengan Aiza tetapi hatinya kuat mengatakan bahawa perempuan itu memang sengaja mahu menumpang kasih dengan suaminya. Siapa yang tidak terpikat dengan suaminya itu? Hanya berbekalkan wajah yang tampan, duit berkepuk-kepuk di dalam poket, perempuan mana yang boleh tahan?? Getus Nurshila sendiri.

4 Responses to “TITIK CINTA TERAKHIR – BAB 10”

  • yatt says:

    assalam k.rafina,

    nak tanya nie… novel ni dah published ker atau sedang dalam pembuatan. saya nak beli coz nak tahu sangat kesudahannya. samada dia kahwin dengan aiza atau x? apa jadi pada nurshila? adakah idzmir menyesal ? huhuhu… klu dah published, saya mmg nak sangat2
    beli….

  • yatt says:

    terima kasih k. rafina… bile dah published nnti, announced ye. insyaallah saya akan beli. x sabar nak tahu cerita selanjutnyer… uhuhuhu

  • Jea says:

    skt ati pn ade ngn Idzmir ni….benciii…tp x sbr nk tau ending….jgn pisahkn Idzmir n shila…benci Aiza…

Leave a Reply

CommentLuv badge
Advertiser
My First Novel 2012
Photobucket

DAPATKAN NOVEL 'SAYANG CIKGU KETAT-KETAT' DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA ATAU BOLEH MEMBELINYA SECARA ONLINE NOVEL INI DENGAN MELAYARI LAMAN WEB INI - [CLICK HERE]ATAU BOLEH JUGA MEMBELINYA MELALUI SAYA BERSERTA TANDATANGAN SEKALI. EMELKAN SAJA PADA SAYA DI rafinarmzm@gmail.com :)
DYAP
Akan diterbitkan pada julai 2013 :)
MBDR
TCT
E-NOVEL TERBARU!
Find Us on Facebook
My Followers
] =
Tinggalkan Pesanan Anda
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline

Switch to our mobile site