REVIEW NOVEL | GULAI PISANG IKAN MASIN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada kali ini saya akan buat satu lagi review sebuah novel yang sudah selesai saya baca. GULAI PISANG IKAN MASIN terbitan JEMARI SENI SDN BHD hasil tulisan daripada novelis Szalies. Novel ini diterbitkan pada tahun 2011 dan saya memang agak ketinggalan membaca novel ini.
GPIM yang sebelum ini sudah saya rancang mahu mendapatkannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di PWTC (2013) akhirnya menjadi milik saya. Itupun cuma tinggal satu naskhah sahaja lagi di atas rak. Tergesa-gesa jugalah saya ambil supaya orang lain tidak merembatnya terlebih dulu.
SINOPSIS : -
Kenangan I
“Memang dasar lembiklah kau ni! Macam pondan… itu pun dah nak nangis, cubalah tahan sikit!”
“Mana ada budak jantan yang nak kawan dengan dia. Itu fasallah dia pun lembik macam perempuan!” kata Leman Kemek sambil ketawa.
Kenangan II
“Oiii… lembam, kau cari apa tu?” tanya Atan Gemuk sambil mengunyah tebu.
“Amboi, ko tengok tu! Bukan main sombong lagi labi-labi sekor ni. Aku tanya pun tak nak jawab!” Leman Kemek menongkat basikalnya.
“Ipin!” Mereka menjerit nama Ipin serentak.
“Adoiii!!!” jerit Ipin kuat; sambil menyapu mukanya yang berlumur ‘krim’ betik.
Ipin atau Ariffin, sentiasa dibuli oleh Leman Kemek, Jemair, Pejai dan Atan Gemuk. Salmah, Hanim dan Latifahlah menjadi heroin yang selalu menyelamatkannya. Hidup dia sentiasa diuji. Dia kehilangan emaknya ketika berusia 12 tahun. Dia terpaksa berhenti sekolah kerana menjaga ayahnya yang dikatakan gila. Bagaimana Ipin dapat menghadapi liku-liku hidup yang penuh dengan ujian ini sehingga dewasa?
Oh ya, macam mana pula akhir kisah cintanya dengan heroin Kampung Sempadan Hulu, Cik Tipah Loyar tu? Amboi, tak padan dengan lurus bendul, ada hati dengan anak ketua kampung!

Szalies
REVIEW SAYA : -
GULAI PISANG IKAN MASIN merupakan sebuah novel yang memuatkan kisah seorang pemuda kampung bernama Ariffin atau nama timangannya Ipin menjalani kehidupannya sehari-hari dengan seribu kepayahan sejak dari kecil. Di bangku sekolah rendah dia sering dibuli oleh rakan-rakan. Namun begitu, ada juga yang sering menjadi tukang bela sekiranya dia dibuli. Rakan yang selalu menjadi pembela itu adalah seorang budak perempuan yang merangkap anak ketua kampung bernama Latifah.
Novel ini sarat dengan kisah orang-orang kampung di mana ia padat dengan aktiviti-aktiviti seharian yang dilakukan oleh penduduk Kampung Sempadan Hulu termasuklah Ipin sendiri. Ipin, merupakan seorang pemuda yang mempunyai sifat lurus bendul tetapi mempunyai sekeping hati yang cekal dan mulia kerana sentiasa bersabar dengan cemuhan segelintir orang kampung yang tidak menyukai keluarganya. Ini kerana bapa Ipin seorang yang tidak waras kerana menghidap penyakit misteri akibat buatan orang. Orang yang paling membenci bapa Ipin adalah ketua kampung sendiri iaitu Long Deraman bapa kepada Latifah.
Pada awalnya saya menyangkakan adalah menjadi perkara biasa kepada Long Deraman tidak menyukai bapa Ipin kerana dia tidak waras tetapi rupa-rupanya, ada cerita yang tersembunyi di sebalik kebencian Long Deraman kepada bapa Ipin yang dikenali dengan panggilan Seman Tol itu. (saya tidak mahu menceritakannya secara keseluruhan kerana berasa tidak adil kepada mereka yang masih belum membacanya)
Di awal-awal bab novel ini ada diselitkan adegan-adegan lucu yang banyak melibatkan Seman Tol dan Long Deraman tetapi dalam situasi yang berbeza. Seman Tol yang ada ketikanya berbual dengan orang kampung, sering berdialog tidak masuk akal dan selalu membuatkan orang terfikir-fikir.
Long Deraman pula selalu dilanda musibah dengan pelbagai perkara yang menimpanya. Babak yang paling membuatkan saya ketawa sehingga naik semput adalah babak ketika Long Deraman terpaksa mengambil bantal peluk untuk digantikan dengan kusyen motornya yang telah dicuri orang. Bayangkan, Long Deraman terpaksa pergi ke balai raya dengan menaiki motor beralaskan bantal peluk. Sudahlah begitu, bantal peluk itu pula bersampulkan corak bunga-bunga. Selain daripada itu, ada beberapa lagi perkara yang tidak diingini menimpa Long Deraman. Mungkin itu adalah balasan daripada Allah SWT kepada Long Deraman kerana banyak menganiaya Ipin sekeluarga.
Dalam novel ini juga ada diceritakan tentang kisah percintaan di antara Ipin dan juga Latifah. Saya suka dengan penceritaan kisah cinta di antara kedua-duanya kerana ia mengingatkan saya dengan cara orang bercinta di zaman 80an dan 90an dahulu. Tidak berpegangan tangan dan menjaga batas pergaulan setiap kali berjumpa. Namun, kisah percintaan Ipin dan Latifah ini tidaklah semudah yang disangka kerana mendapat tentangan hebat daripada Long Deraman, bapa Latifah. Dia menganggap Ipin tidak setaraf dengan Latifah yang bekerja sebagai peguam itu.
Penulis Szalies juga menggunakan nama-nama gelaran di dalam novel ini dan ia mengingatkan saya sewaktu saya kecil dahulu. Orang-orang dewasa di kampung saya juga mempunyai nama gelaran yang hampir serupa. Saya tersenyum-senyum saja membaca novel ini pada setiap kali terjumpa dengan nama-nama gelaran itu. Di antaranya adalah Timah Janda, Amat Tekukur, Atan Gemuk, Din Jaring, Bilal Malukun, Salleh Dukun, Hassan Mamak, Zaki Sepet, Malik Misai dan macam-macam gelaran lagilah yang ada. Saya pun sudah lupa.
Okey, setakat ini sahajalah yang mampu saya tulis mengenai novel ini dan ternyata ia mempunyai mesej-mesej tertentu yang boleh sampai kepada kita. Itupun kalau kita membacanya dengan mata hati dan tidak sekadar dengan mata sahaja. Faham ke tidak ni? Tak faham tak mengapalah. Biar saya saja yang faham. GULAI PISANG IKAN MASIN bukan sekadar novel yang biasa-biasa bagi saya. Ada juga diselitkan info berguna kepada pemuda-pemuda kampung yang masih setia dengan kerja-kerja kampung boleh berbuat sesuatu untuk mengubah nasib agar diri lebih maju ke hadapan. Contohilah IPIN!
Kelemahan dalam novel ini? Maaf, saya tidak boleh menyentuh soal kelemahan yang ada kerana saya juga merupakan seorang penulis yang sama sekali tidak layak untuk mencari kelemahan dalam setiap novel yang saya baca.
Sekian

Akan diterbitkan pada julai 2013 :)

